“ITULAH lumrah menjadi seorang figura umum.” Itu kenyataan yang diluahkan oleh pelakon sasa, Adi Putra saat ditanya tentang kehidupannya selepas dilanda banyak kontroversi negatif sebelum ini, terutama ditohmah menghantar foto lucah kepada isteri orang yang heboh diperkatakan seluruh negara.
Tutur Adi yang ditemui pada acara siri jelajah Anugerah Skrin 2013 di ECurve, Damansara, Selangor baru-baru ini, segala tohmahan yang dilemparkan tidak sedikit pun mengganggu kehidupannya.
Ikuti sedutan temu bual Kosmo! bersama Adi Putra.
Kosmo!: Boleh ceritakan sedikit perkembangan terkini Adi?
ADI PUTRA: Saya kini sedang menjalani penggambaran drama Amara Batrisya bergandingan dengan Erra Fazira dan Umie Aida. Drama 13 episod itu bakal ditayangkan bermungkinan pada bulan Disember menerusi TV9.
Bulan Disember ini juga, kami akan mulakan promosi filem Balistik terbitan Suhan Movies yang bakal ditayangkan pada 9 Januari tahun depan.
Pada masa yang sama, saya juga sedang dalam proses menyiapkan filem saya yang berjudul Suami Aku Ustaz dan saya berharap ia dapat ditayangkan juga pada tahun hadapan. Selain itu, saya juga sedang menerokai bisnes secara kecil-kecilan iaitu barangan mandian, yang mana ia jarang diteroka oleh orang Melayu kita.
Kenapa memilih barangan mandian sebagai bisnes?
Ia merupakan satu keperluan daripada kemahuan. Sebab itu, saya cuba untuk menerokai perniagaan tersebut. Saya akan menjadi pengedar dan kami akan reka konsep kami dan akan bawa ke luar negara di bawah syarikat saya.
Salah satunya, saya bekerjasama dengan Tuscany di Singapura dan di Malaysia, ia akan dikenali dengan nama lain, namun masih di bawah syarikat tersebut. Nama jenama setakat ini yang dipilih ialah Hadaz.
Sejak bilakah anda mulakan perniagaan ini?
Sejak kebelakangan ini setelah saya melawat syarikat Tuscany di Singapura, saya mula berminat ingin membawa produk itu di Malaysia. Jadi, itu yang saya sedang cuba menembusi pasaran di sini.
Beralih kepada soalan ‘panas’. Apakah perkembangan isu kontroversi yang melanda Adi sebelum ini?
Saya masih menanti konklusinya. Sudah semestinya saya akan tetap berpegang dengan apa yang dijanji iaitu akan kongsikan keputusannya bersama semua setelah mendapat keputusan.
Namun setakat ini, masih belum dapat jawapan apa-apa. Alhamdulillah, kes ini tidak mengganggu kerja serta kehidupan saya. Saya masih dalam mood aktif yang mana ia tidak mengganggu apa yang saya lakukan termasuk kerjaya saya. Alhamdulillah.
Bagaimanakah dengan dakwaan yang mengatakan Adi menggunakan orang atasan untuk membantu menggugurkan kes anda itu?
Saya tidak ambil pusing soal tersebut, ini kerana ia tidak datang daripada mulut saya. Sebaliknya, ia adalah apa yang orang lain sampaikan kepada umum. Jadi, apa yang boleh saya katakan terpulang kepada mereka nak cakap apa.
Namun, saya bersyukur sebenarnya dan mengucapkan setinggi terima kasih kerana saya masih disayangi dan masih ramai yang ambil berat tentang diri saya. Jika tidak, maka tiadalah yang berbicara tentang diri saya dan tahu tentang perkembangan saya.
Di sebalik banyak kontroversi negatif yang dialami, bagaimana pula reaksi peminat Adi?
Apa yang saya boleh katakan, Allah itu wujud dan apa yang dipohonkan akan terkeluar bersama kebenarannya kelak. Alhamdulillah, peminat masih bersama saya dan saya juga masih menyumbang tenaga sebagai seorang penggiat seni.
Pernahkan Adi berasa rimas dengan dakwaan yang sering dilemparkan kepada anda walaupun telah menafikannya?
Setakat ini tiada perasaan sedemikian. Segala tanggungjawab saya telah jalankan. Jika saya berasa rimas, maka saya tidak akan menghadiri setiap majlis yang dijalankan. Lebih baik saya tidak datang, sebab saya tahu saya bakal dikerumuni media, namun saya tidak berbuat begitu.-Kosmo
0 comments:
Post a Comment