Tuesday, 5 November 2013

Aeril Zafrel Anggap Fitnah Kahwini Ummi Nazeera Serangan Peribadi

PETALING JAYA: Pelakon Aeril Zafrel menganggap tuduhan bahawa dia pernah berkahwin dengan pelakon Ummi Nazeera adalah fitnah yang bertujuan memburukkan lagi dirinya di mata masyarakat.

Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, 25, berkata, dia dengan pelakon wanita tersebut tidak pernah berjumpa dan hanya bertegur di laman sosial secara terbuka.


"Saya sedar diri saya bukanlah popular pun, namun fitnah seperti ini seperti cubaan mahu mencemarkan dan menjatuhkan peribadi agar orang lain turut bertanggapan buruk pada saya.

"Secara jujurnyanya saya dengan Ummi hanya bertegur sapa di laman sosial sahaja dan kami tidak pernah berjumpa secara peribadi dengannya," katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Aeril berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan pernah berkahwin dengan Ummi Nazeera sebelum kontroversi perkahwinannya dengan Wawa Zainal terbongkar pada Oktober lalu.

Dalam laporan tersebut turut memberitahu Aeril pernah berkawan baik dengan Ummi dan meminati lakonan wanita itu.


Jelas Aeril, dia kesal dengan tuduhan tersebut dan menganggap ia sebagai satu serangan peribadi.

Bagaimanapun, katanya, ia menerima perkara itu sebagai satu ujian daripada Allah taala untuk menjadikannya insan yang lebih kuat.

Sementara itu, Aeril mengakui kehidupannya kini lebih tenang dan bahagia disamping isteri dan anaknya Ahmad Fakharuddin Attar yang kini berusia hampir tiga bulan.

"Alhamdulillah kehidupan kami kini bahagia dan tenang, Wawa tinggal dengan saya di sini dan anak kami semakin membesar dan sihat.

"Kalau boleh biarlah masyarakat mengenali kami sahaja dan saya mahu dia membesar dalam dunia dia sendiri tanpa melibatkan sebarang publisiti," katanya.

Tambah Aeril, selepas kontroversi perkahwinannya itu ramai yang tampil memberi sokongan moral kepada kami sekeluarga.

"Setiap yang berlaku ada hikmahnya, selepas isu ini apa yang saya lihat lebih ramai yang memberi sokongan kepada kami," katanya.

Terdahulu pada 11 Oktober lalu pasangan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal dalam satu sidang media menjelaskan mereka sudah bernikah sebanyak dua kali iaitu pada 25 Februari 2012 dan kali kedua, 4 Februari lalu.

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, pada 24 Ogos lalu.-mStar

0 comments:

Post a Comment