BUTTERWORTH - Siri latihan kecemasan kakitangan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang berlangsung semalam menguji kecekapan semua pihak yang sentiasa siap sedia menghadapi bencana.
Ketua Unit Perkhidmatan Feri, Fisnol Ainon Mahmud berkata, latihan tahunan itu melibatkan kira-kira 90 kakitangan merangkumi beberapa unit, antaranya unit keselamatan, unit perkhidmatan feri, unit Bomba dan Penyelamat PPSB.
“Selain itu, makluman orang awam turut ditingkatkan menerusi pelaksanaan latihan seumpama ini bagi menangani isu membabitkan keselamatan penumpang,” katanya.
Latihan yang bermula seawal 9 pagi di Pangkalan Sultan Abdul Halim itu melibatkan menurunkan jaket keselamatan, memadamkan kebakaran menggunakan bantuan bot tunda, buih dan pemadam api serta teknik menurunkan sauh ketika berlakunya kecemasan.
Aktiviti menyelamat orang jatuh laut dari feri Pulau Kapas serta ‘kebakaran’ yang berlaku menjadi medan latihan kepada kakitangan untuk bertindak dalam situasi cemas.
Demonstrasi membuka dan menutup ‘watertight door’ turut dijalankan bagi memastikan kakitangan diberi pendedahan sewajarnya sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Terdahulu, demonstrasi pemakaian jaket keselamatan dan pengedaran risalah turut dijalankan bagi meningkatkan kesedaran penumpang.
Fisnol berkata, latihan berjalan lancar dan berjaya sebanyak 85 peratus secara keseluruhannya.
“Kakitangan sentiasa bersedia dan bergerak dengan cekap, pantas serta tenang semasa mengendalikan situasi genting terutamanya melibatkan keselamatan penumpang.
“Diakui, masih ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki lagi namun setakat ini, semua kakitangan memiliki pengetahuan asas dan boleh diaplikasikan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Dalam pada itu, Fisol menegaskan masih ada segelintir individu enggan mematuhi peraturan ditetapkan dan melakukan kesalahan secara terang tanpa mempedulikan orang lain.
“Sejak September lalu, larangan merokok dikuat kuasa secara berperingkat namun masih ada penumpang yang berani menghisap rokok di khalayak sehingga mengganggu keselesaan penumpang lain.
“Inilah masalah sikap atau disiplin yang masih ada dalam diri segelintir penumpang yang nyata melanggar peraturan malah membahayakan keselamatan semua pihak.
“Kami menerima komen dan aduan sama ada secara terang-terangan dan emel namun hanya penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang yang memiliki kuasa untuk mengenakan kompaun kepada penumpang yang ingkar.
“Kerjasama bersepadu ini dijalankan secara kerjasama setiap dua kali seminggu bergantung kepada operasi penyamaran yang dijalankan penguatkuasa sama ada di atas feri atau di terminal,” katanya.
Beliau menekankan, kedegilan pemandu tidak mematikan enjin kenderaan turut membahayakan keselamatan penumpang lain.
“Kebanyakan penumpang lain akan mengadu kepada kakitangan yang bertugas dan kami akan menegur untuk memastikan peraturan yang telah ditetapkan akan dipatuhi.
“Bagaimanapun, mereka perlu ada kesedaran sivik dengan tidak membahayakan keselamatan penumpang lain,” katanya.-Sinarharian
0 comments:
Post a Comment