Saturday, 30 November 2013

Bahang cinta Johan-Lana

PENGAKUAN cinta aktor Johan As'ari, 27, bersama Lana Nordin, 34, pelakon wanita yang cukup terkenal dengan jolokan 'Pamela Anderson Malaysia' mudah sahaja mencetuskan kontroversi. Seperti menyimbah minyak ke dalam api, keterbukaan Johan yang selama ini dilihat intim bersama penyanyi popular Shila Amzah itu membakar kejutan dan reaksi berganda banyak pihak.

Bara sensasi Lana Nordin yang pernah bercinta dengan jejaka warga Republik Czech bernama Parvel Michalec menambahkan bahang kepanasan. Lantaran itu, para peminat menganggap kisah silam Lana yang mengotori namanya tidak sesuai berdampingan dengan Johan.


Seorang demi seorang wanita cantik hadir dalam hidupnya sehinggalah tiba ke giliran Lana Nordin, dia pantas membuat pengakuan bahawa itulah wanita yang bakal disunting sebagai isteri, surinya yang sah.

Johan sebelum ini dikaitkan dengan beberapa nama pelakon wanita popular termasuklah Izreen Izminda, Nabila Huda serta Shila Amzah.

Sebenarnya, bukan sekali dua Johan meluahkan perasaannya untuk bertunang dan bernikah dalam masa terdekat. Ketika sibuk mempromosikan filem Balada Pencinta baru-baru ini, Johan sempat berkongsi hasratnya untuk bertunang sekitar bulan Disember. Jika ditemukan cinta dengan wanita yang tepat iaitu cantik, berharta, keturunan yang baik-baik dan beragama, dia pasti itulah orangnya calon isteri yang dicari-cari. Dia mahu bernikah sebelum menyambung pengajian dalam bidang agama di Yemen dan berangkat ke sana tahun depan bersama-sama seorang isteri di sisi.

Melihat secara luaran, Lana punya banyak sejarah hitam. Gelaran Pamela Anderson Malaysia untuknya sudah cukup memberi gambaran tentang personaliti wanita itu. Namun, siapalah peminat untuk menentukan status Lana Nordin sebagai ratu di hati Johan. Setiap manusia harus ada peluang untuk diubah dan berubah ke arah yang lebih baik.

Lana sendiri pernah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan imej seksi dan sedia menyarungkan hijab demi cintanya terhadap Johan.

Begitu juga dengan Johan, perkenalan singkat bersama Lana tidak menghalang perasaan tulus terhadap wanita itu.

"Saya berkawan dengannya bukan main-main. Saya tahu, dia juga mendambakan calon suami yang boleh membimbingnya. Kami akan sama-sama belajar untuk menjadi insan yang lebih baik.

"Biarpun berbeza usia, dia menghormati saya. Andai kami disatukan, hanya tiga perkara yang saya pinta iaitu taat kepada Allah, Rasulullah dan suami. Itu saja," jelas Johan saat ditanya tentang keseriusan hubungannya bersama Lana.

Dari satu sudut yang lain, keterbukaan Johan dan Lana mengundang reaksi berlainan emosi daripada dua wanita terdekat dengan Johan. Pertama, ibu Johan iaitu Datin Firdaus sendiri memuat naik sekeping gambar menerusi Instagram berserta status berbau hampa.

Datin Firdaus menulis, 'A sad face under the shades'. Allah menduga setakat yang kita mampu. Setiap dugaan ada hikmah di sebaliknya.' Status mengundang skeptikal umum, adakah perhubungan Johan dan Lana direstui keluarga.


Shila Amzah melalui akaun Instagram turut memuat naik sekeping gambar yang dirakam memeluk bahu ibu Johan dan menulis: 'Please be strong aunty sayang. We love you, no matter what. Allah knows better, we are here for you.' Gambar serta status yang seolah-olah memberi kata-kata semangat itu mendapat banyak reaksi daripada penyokong dan pengikutnya. Namun, tidak lama kemudian gambar tersebut dipadam Shila.

Drama kisah cinta Johan dan Lana turut dihangatkan oleh rakaman-rakaman manis yang terzahir oleh Lana dan Johan. Membuktikan hubungan mereka sudah sampai ke pengetahuan keluarga, Lana sendiri ada memuat naik sekeping gambar yang dirakamkan ketika malam malam bersama keluarga Johan. Kemesraan Johan, Lana serta beberapa ahli keluarga dalam gambar itu menjelaskan penerimaan keluarga terhadap kehadiran Lana.

Sejauh mana hubungan itu berkekalan, masa dan keadaan sahaja yang akan menentukan. Barangkali Lana seorang wanita yang cukup 'mencabar' buat Johan atas sebab itu, cinta yang segera berputik mahu diikat ketat agar perasaan yang terbina tidak mudah hanyut.

-Kosmo

0 comments:

Post a Comment