KUALA LUMPUR - Ke Kota Bharu atau Kuantan? Segala ramalan dan persoalan itu hanya akan terjawab selepas berakhir Piala Malaysia edisi ke-87 pada malam ini di Stadium Shah Alam antara dua pasukan dari pantai timur, Kelantan dan Pahang.
Atas kertas, sememangnya Kelantan wajar dilabelkan sebagai favourite untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu.
The Red Warriors mempunyai banyak kelebihan di segenap aspek, namun kekuatan serta semangat dimiliki Pahang tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Dibarisi beberapa pemain yang dianggap antara terbaik negara buat masa ini seperti Mohd. Badhri Mohd Radzi, Mohd. Nor Farhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin, The Red Warriors dijangka mendominasi pergerakan tengah berbanding Tok Gajah.
Penyerang import, Dickson Nwakaeme juga pasti akan memberi kesukaran kepada pertahanan Pahang ekoran mempunyai kekuatan fizikal yang tiada tolok bandingnya dan dia pernah menjadi pemusnah Tok Gajah dalam saingan peringkat kumpulan apabila meledak jaringan hatrik di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu untuk membantu kemenangan 4-0 dan ia tidak mustahil berulang sekali lagi pada malam ini.
Kelantan juga beruntung kerana mempunyai penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat untuk mengawal gawang dan seandainya kemungkinan perlawanan ditentukan sehingga sepakan penalti, kelebihan dijangka berpihak kepada skuad kendalian Bojan Hodak.
Cuma satu sahaja kelemahan yang pasti menggusarkan Hodak, iaitu barisan pertahanannya yang turun tanpa Obinna Nwaneri dan dia pasti menagih khidmat Nik Shahrul Mohd. Azim yang akan digandingkan bersama Azizi Matt Rose.
Mengintai kekuatan skuad Tok Gajah, semangat anak-anak buah Dollah Salleh cukup berkobar-kobar bagi menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia sejak tahun 1992, apatah lagi mereka kempunan sebanyak tiga perlawanan terakhir - 1994, 1995 serta 1997.
Pahang sudah tentu mahu meneruskan rentetan kekecewaan berterusan buat kali keempat dan kesempatan kembali beraksi di perlawanan akhir tidak boleh dilepaskan begitu sahaja memandangkan kekuatan mereka sebenarnya tidak terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan Kelantan.
Dipacu oleh kelajuan di bahagian sayap yang dikemudi oleh dua R iaitu R. Gopinathan dan R. Surendran, corak permainan serangan balas pasti akan menjadi senjata paling ampuh bagi meleburkan keegoan The Red Warriors.
Ditambah ketajaman penyerang dari Argentina, Matias Conti dan aksi yang tidak kenal putus asa oleh Azamuddin Akil atau lebih dikenali dengan nama panggilan Alex, Pahang ada ramuan tersendiri untuk menjinakkan Kelantan.
Biarpun masih mentah di peringkat tertinggi, aksi penjaga gol ketiga, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid boleh dipuji dan dia dijangka menjadi aset terpenting kepada Pahang esok bagi menangani serangan bertali arus lawan.---->Utusan
0 comments:
Post a Comment