PETALING JAYA: Filem terbitan Showbiz Productions Sdn Bhd iaitu Hantu Tok Mudim bukan dihasilkan untuk menakutkan penonton terutamanya di kalangan kanak-kanak lelaki mengenai budaya berkhatan secara tradisional.
Pengarahnya, Wan Hafiz berkata, filem berkenaan cuba mengangkat proses berkhatan oleh ‘Tok Mudim’ yang jarang dilaksanakan dengan memasukkan elemen komedi dan seram dalam penceritaannya.
"Saya yakin kanak-kanak pada zaman ini sudah lebih matang dan terbuka mengenai perkara tersebut dan filem ini hanya untuk hiburan semata-mata," katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem berkenaan di Cathay @eCurve di sini, malam Selasa.
Hantu Tok Mudim menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, AR Badul, Harun Salim Bachik dan Adrea Abdullah.
Ia bakal ditayangkan di pawagam pada 21 November 2013.
Dalam pada itu, mengulas mengenai skripnya yang sarat dengan 'double meaning', Wan menjelaskan dia sengaja berbuat demikian untuk memberi kelainan pada karya pertamanya itu.
Jelas Wan, dia mahu bermain dengan emosi penonton dan membiarkan mereka membuat tafsiran terhadap skrip yang disampaikan oleh para pemain filem itu.
Sementara itu, Wan berkata, dia mengambil keputusan untuk mengangkat tema berkhatan dalam filem tersebut kerana ia belum pernah diketengahkan dengan jalan cerita menarik.
Jelas Wan, dia juga banyak melakukan rombakan pada skrip bagi memastikan jalan cerita yang ditampilkan kemas dan mampu membuat penonton ketawa.-mStar
0 comments:
Post a Comment