Saturday, 16 November 2013

Terbaru: Berhijab Bukan Sebab Ummi Nazeera Tidak Ikut Promosi 'Penanggal'

PETALING JAYA: Ketiadaan Ummi Nazeera dalam mempromosikan filem Penanggal di beberapa lokasi tidak ada kaitan dengan perubahan imejnya yang dikatakan sudah berhijab.

Pengarahnya, Elly Suriaty berkata, walaupun imej Ummi dalam filem tersebut tidak bertudung serta berkemban, namun dia percaya Ummi seorang profesional dan ketiadaannya itu adalah disebabkan wanita itu kini sibuk dengan pengajiannya di Australia.


"Saya difahamkan Ummi tidak terlibat dengan sebarang promosi filem ini kerana dia masih belajar di Australia dan ia langsung tidak ada kena mengenai mengenai penghijrahannya seperti yang diperkatakan ramai.

"Lagipun saya percaya Ummi profesional dan selagi saya tidak nampak di depan mata sendiri mengenai perubahannya (berhijab), saya juga tidak boleh cakap sebarangan," katanya kepada mStar Online.

Tambah Elly, dia menyifatkan Ummi memiliki bakat lakonan yang luar biasa apabila wanita itu berjaya melakonkan watak Murni dalam karya sulungnya iaitu Penanggal.

Beritahu isteri kepada aktor Azri Iskandar, penghayatan Ummi dalam watak utama sebagai hantu penanggal itu juga telah memberikan impak terbaik dalam filem tersebut memandangkan ia merupakan watak berat antara semua karaktor.


"Menghasilkan filem Penanggal ini, sebelum memulakan pre-produksi lagi saya mencari pelakon yang mampu memberi sepenuh jiwa dalam watak Murni ini dan Alhamdulillah Ummi berjaya melaksanakan tugasnya seperti yang saya inginkan.

"Apa yang dapat dilihat, Ummi memiliki bakat lakonan yang luar biasa. Dia benar-benar menjiwai wataknya itu sebaik mungkin," katanya.

Penanggal berkisarkan mengenai Murni (Ummi Nazeera) secara tidak sengaja mewarisi ilmu penanggal daripada Mak Ajeng (Normah Damanhuri) dan dia terpaksa melarikan diri ke Kampung Jawa untuk mencari pelindungan

Antara pelakon lain yang turut terlibat dalam filem itu termasuklah Fasha Sandha, Azri Iskandar dan Datuk Sharifah Aini.-mStar

0 comments:

Post a Comment