Thursday, 19 December 2013

Kakak kunci adik dalam bilik

TANJONG KARANG - Tindakan pantas seorang kanak-kanak mengunci pintu bilik bersama dua adiknya sebaik sahaja mendengar tingkap dapur dipecahkan berjaya menyelamatkan mereka dari menjadi mangsa samun di Taman Nilam, pagi semalam.

Walaupun baru berusia 10 tahun, namun Norsyahmina Nuri bijak membawa dua adiknya yang masih kecil ke dalam bilik sebelum menghubungi ibunya yang ketika itu sedang bekerja di sebuah klinik di Bestari Jaya.

“Masa itu, ayah keluar sekejap sebab nak pergi hospital dan sempat berpesan kepada kami supaya tidak keluar rumah atau membuka pintu jika ada orang tak dikenali datang.

“Jadi saya dengan adik-adik pun tengok cerita kartun kat televisyen sebelum terkejut bila dengar bunyi bising dan orang cakap-cakap kat belakang dapur. Masa tu saya takut sangat sampai nak menangis tetapi cepat-cepat bawa adik masuk dalam bilik dan kunci.

Kakak kunci adik dalam bilik

“Sebelum masuk bilik, saya dengar bunyi suara lelaki lebih dari satu... ada suara orang Indonesia, India dan Melayu... suara mereka bercakap kuat macam nak pecahkan tingkap sebab nak masuk.

“Dalam bilik, saya cepat-cepat telefon ibu dan suruhnya balik sebab bunyi kuat kat dapur menakutkan kami,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu ditemani ibunya, Rosmah Ismail, 40.

Menurut Rosmah, ketika dia menerima panggilan kecemasan daripada anak sulungnya itu hatinya tak keruan dan hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan ketika itu.

“Kalau boleh sepantas kilat saya mahu sampai ke rumah sebab bimbangkan keselamatan anak-anak. Tak jangka musibah seperti ini akan berlaku namun kawan-kawan nasihat tenangkan hati.

“Alhamdulillah sebaik sahaja sampai di rumah anak-anak selamat,” katanya yang masih belum mengetahui jumlah kerugian dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor.

Tinjauan Sinar Harian di bahagian belakang rumah terbabit mendapati rumah mangsa hanya dipisahkan dengan tembok batu antara kebun kelapa sawit yang memudahkan suspek melarikan diri. Difahamkan, rumah bersebelahan mangsa turut di pecah masuk melalui tingkap dapur pada masa sama.

Meskipun sedar ada anak-anak kecil di dalam rumah itu, suspek dipercayai tetap masuk dan mencari barangan berharga bagaimanapun sempat melarikan diri tidak lama selepas itu setelah menyedari kehadiran polis dan orang ramai. ----- Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment