Friday, 3 January 2014

Gempak: Kanak-kanak 4 tahun kritikal jatuh flat di Ampang

AMPANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan kritikal selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah flat di Taman Perindustrian Lembah Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, ibu mangsa dikatakan tiada di rumah kerana menghantar seorang anaknya ke sebuah sekolah berhampiran.


Gambar Hiasa Sahaja

Namun, apabila wanita berusia lingkungan 30-an terbabit pulang ke rumah, dia terkejut sebaik melihat anak lelakinya itu sudah terjatuh menghempap bumbung sebuah kereta yang diletakkan bawah flat berkenaan.

Sumber berkata, kanak-kanak terbabit kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang, kerana kecederaan parah di kepala dan patah kaki.


"Mangsa dipercayai terjatuh dari balkoni rumahnya tingkat 10. Ketika kejadian, jeriji pintu di bahagian balkoni berkenaan dalam keadaan terbuka.


"Mangsa dipercayai keluar ke balkoni sebelum terjatuh. Jiran mangsa menyedari kejadian itu kemudian memaklumkan ibu mangsa yang pulang ke rumah," katanya.

Menurutnya, mereka segera menghantar mangsa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dan masih tidak sedarkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah merakam keterangan ibu mangsa dan kes disiasat mengikut Akta Kanak-kanak 2001. - Hmetro

0 comments:

Post a Comment