Friday, 3 January 2014

Kisah kehidupan : Kongsi hidup dengan ayam

Arau: “Saya tidak tahu apa nasib kami sekeluarga esok kerana tanah di tepi tali air tempat kami berteduh ini pun milik orang lain.”

Demikian kata Azman Ahmad, 44, isteri serta anak perempuannya yang terpaksa menumpang teduh di sebuah bangsal buruk di pinggir sawah di Kampung Behor Mentaloon, di sini, selepas terpaksa keluar dari rumah pusaka keluarganya berikutan selisih faham, dua tahun lalu. Malah, nasib Azman pada hari mendatang juga tidak menentu kerana mendakwa pemilik tanah tempat mereka menumpang juga pernah meminta mereka keluar dari situ.

Kongsi hidup dengan ayam

Pendapatan RM200 sebulan

Selain tinggal di bangsal yang buruk dan tidak berdinding, Azman serta isteri, Noor Azah Abdullah, 43, serta anak perempuan mereka, Nur Fatiha, 16, terpaksa berkongsi hidup dengan ayam kampung yang turut berteduh di situ.

Malah, sudut yang dijadikan ruang memasak di pondok itu juga hanya berlantai pasir dan berselut selain tompokan najis ayam.
Nur Fatiha yang juga satu-satunya anak mereka tidak lagi bersekolah selepas Azman tidak mampu menampung perbelanjaan harian keluarga, gagal menyediakan belanja persekolahan.

Azman berkata, pendapatannya RM200 sebulan hasil mengutip dan menjual barang lusuh dan mengambil upah menabur baja padi tidak cukup untuk menyara keluarga dan menyekolahkan anaknya.

“Di sinilah kami mandi, tidur, tukar baju malah masak pun atas tanah, Kami makan sekali saja sehari, iaitu pada waktu tengah hari, itu pun nasi lauk ikan kering. Kalau ada rezeki lebih boleh kami beli sayur dan ikan,” katanya.


Tak mampu sekolah anak

Ditanya mengenai anak perempuannya, Azman berkata Nur Fatiha sudah lama tidak ke sekolah kerana kesempitan wang dan kali terakhir anaknya itu ke sekolah ialah ketika belajar di Tahun Enam.

“Kami bernasib baik sebab ada juga orang kampung yang datang membantu, ada yang bagi beras, perkakas dapur, sekurang-kurangnya ringan sikit beban kami sekeluarga,” katanya.

Sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi mengesahkan keadaan keluarga terbabit sememangnya berada dalam pemerhatian mereka dan pihaknya kini sedang menyiapkan laporan mengenai bentuk bantuan yang bersesuaian untuk disalurkan. -BH

0 comments:

Post a Comment