Sunday, 5 January 2014

Tragedi: Pelajar mati dibelasah pencuri dengan besi

Miri: Seorang pelajar lelaki tahun dua Universiti Teknologi Curtin ditemui mati dengan kesan pukulan objek keras di kepala, petang kelmarin.

Mangsa berusia awal 20-an dan berasal dari Sandakan, Sabah itu ditemui rakannya dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di tepi tangga tingkat bawah rumah sewanya di Desa Senadin di sini, pada jam 2.30 petang.


Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kok Keong, berkata kejadian diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan berdasarkan keadaan rumah berkenaan, polis percaya mangsa dibelasah hingga mati.

Pulang cuti semester

“Mangsa baru pulang selepas menghabiskan cuti semester di Sabah dan menyewa rumah dua tingkat itu bersama dua rakan tetapi tinggal berseorangan ketika kejadian.

“Tingkap dan pintu rumah mangsa diumpil dan kita percaya penjenayah menceroboh untuk mencuri.

Jumpa batang besi
“Polis turut menemui sebatang besi di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dibuat bagi mengenal pasti motif pembunuhan pelajar berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan universiti terbabit, Datuk Lee Kim Shin, berkata pihaknya sentiasa memberi perhatian aspek keselamatan pelajar terutama yang menyewa di luar kampus.

“Kita harap pelajar terutama dari luar negara tidak bimbang dengan aspek keselamatan kerana suasana masih selamat.

“Polis akan menjalankan siasatan yang sewajarnya berhubung kes itu,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zainan Azili di talian 0111-20999878 bagi membantu siasatan. -BH

0 comments:

Post a Comment