Monday, 30 December 2013

Berita : Didenda RM1,500 gigit bekas kekasih

Ayer Keroh: Kemarahan yang mendorong seorang penganggur menampar dan menggigit bekas kekasihnya membawa padah apabila didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Ahmad Syahmi Ibrahim, 19, dari Kampung Ali, di sini, mengaku salah atas tuduhan itu di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman dan diarah menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda.


Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada Pustika Ramadani, 20, dengan menampar pipi kanan dan menggigit bahu kanan mangsa di sebuah rumah di Jalan PJ 1, Taman Pertam Jaya, di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8.30 malam pada 20 November lalu dan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Didenda RM1,500 gigit bekas kekasih

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabila Nizam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Rayu hukuman diringan
Terdahulu, ketika merayu hukuman diringankan, Ahmad Syahmi memohon supaya tidak dijatuhkan hukuman penjara dengan alasan tidak bekerja dan perlu menanggung keluarga, selain menyesal terhadap kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, Nabila memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh kerana kesalahan dilakukan adalah serius hingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga bekas teman lelaki mangsa didakwa datang ke rumah wanita itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Pustika memutuskan hubungan mereka sebelum menampar pipi dan menggigit bahu kanan pengadu. -BH

0 comments:

Post a Comment