Friday, 6 December 2013

Kenapa Leina Hangat Tidak Buang Gambar Seksi Di Facebook?..

PETALING JAYA: Tindakan penyanyi Leina Hangat tidak memadam gambar-gambar seksi di laman Facebook miliknya kerana ingin memberi pengajaran kepada para orang ramai.

Leina atau nama sebenarnya Norazlina Abdul Rahman, 40, berkata, dia bukan ingin bermegah-megah dengan kehidupan lampau tetapi mahu masyarakat membuat perbandingan mengenai imej lama dah baharunya untuk dijadikan panduan agar mereka tidak mengikut jejaknya itu.

"Menerusi gambar-gambar semasa zaman jahiliah dan terkini (ketika bertudung), mereka boleh membuat perbandingan dan seterusnya mengambil pengajaran supaya tidak meniru kehidupan lampau saya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat.



Leina mula menukar imej daripada seorang artis seksi kepada imej bertudung pada Ogos lalu selepas menghadiri kursus keagamaan yang membuatkan hatinya terdetik untuk berubah dan menjalankan tanggungjawab kepada agama.

Dalam perkembangan sama, Leina berkata, dia tidak mahu dilihat sebagai seorang yang sudah sempurna dari semua segi selepas memakai tudung.

Jelas Leina, dia masih individu yang serupa dan pada masa sama sedang dalam proses untuk memperbaiki diri ke jalan yang diredai Allah.

"Jika ada yang bertanya bagaimana saya mendapat hidayah, saya tiada jawapan namun perjalanan untuk menjadi insan yang sempurna masih panjang.

"Saya bersyukur diberi kesempatan oleh Allah untuk mengubah diri dan kehidupan saya selain meninggalkan larangan yang pernah saya lakukan semasa zaman jahiliah dahulu," katanya.

Mengimbau mengenai kehidupannya dahulu, Leina berkata walaupun sedih namun menganggap apa yang berlaku adalah satu pengajaran besar sehingga membuatkan dia tersedar.

Malah kata Leina, dia enggan menoleh ke belakang mengenangkan zaman jahiliahnya tetapi menggunakan kesempatan diberikan untuk mendekatkan diri dengan agama Islam.

"Hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya apabila saya diberi hidayah dan kesedaran untuk berubah. Tentang perkara lalu tidak perlu saya kenang lagi.

"Perubahan tersebut juga membuatkan diri saya lebih tenang dan menghargai nikmat yang Allah berikan," katanya.

Pun begitu kata Leina, walaupun sudah bertudung dia tidak berhasrat untuk meninggalkan bidang nyanyian kerana ia telah sebati dengannya.

Sehingga kini dia masih lagi menerima undangan untuk mengadakan persembahan namun dia lebih menjaga batas sebagai seorang yang berhijab.

"Saya masih menyanyikan lagu dangdut seperti biasa cuma saya tidak lagi menari di atas pentas seperti dahulu dan jaga batas sebagai seorang wanita bertudung," ujarnya.-mStar

0 comments:

Post a Comment